Kelebihan Fikir

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, berfikir satu saat lebih afdal (utama) daripada beribadat selama setahun. Kejadian alam yang digambarkan dalam al-Quran juga menuntut kita berfikir bagi mendapatkan hikmah yang tersembunyi, selanjutnya mendekatkan manusia kepada tuhannya.

Pengajaran bukan sahaja dapat dilihat dengan mata apabila melihat keajaiban alam, malah kita juga perlu memerhatikannya pada diri sendiri. Firman Allah s.w.t., “Dan pada diri kamu, maka tiadakah kamu lihat?” Bukan sahaja manusia diciptakan sebagai sesempurna makhluk, tetapi proses kejadiannya juga merupakan satu yang sempurna bagi mereka yang berfikir.

Allah s.w.t. telah mengurniakan manusia dengan aqal untuk berfikir. Ia adalah aset yang sangat berharga yang membezakan kita daripada haiwan dan tumbuhan. Sesungguhnya darjat seorang manusia ditentukan dengan setinggi mana ilmu yang dimilikinya hasil amalan berfikir. Ada manusia yang berilmu tetapi ia tidak faham. Mengapa? Kerana ia tidak berfikir.

Sebagai contoh, kita tahu riba itu haram dan akibat daripada mengambilnya. Kita ada ilmu. Tapi kenapa masih ada orang yang mengamalkan riba? Kita boleh katakan mereka tidak berfikir kerana jika mereka memikirkan apa yang tersirat di sebalik larangan Allah s.w.t., mereka tidak mungkin melanggarnya.

Imam Al-Ghazali ada menyatakan: Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia. Fikir-fikirkan.

Comments