Perihal Hutang


Antara hal yang perlu diketahui oleh setiap Muslim ialah agama Islam menyuruh umatnya supaya berlaku sederhana dalam semua tindak - tanduk kehidupan seharian mereka.

Dengan kesederhanaan ini kita akan sentiasa merasa cukup dan berpada dengan yang ada. Suasana ini akan dapat menghindarkan diri kita daripada berhutang. Rasulullah s.a.w tidak suka umatnya membiasakan berhutang. Dalam pandangan Islam hutang adalah merupakan kesusahan di malam hari dan suatu penghinaan di siang hari. Justeru itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam selalu berdoa kepada Allah s.w.t supaya terhindar dari berhutang.

Doa baginda yang bermaksud : ”Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadamu dari bebanan hutang dan dari dikuasai orang lain”.

Agama Islam menitikberatkan masalah hutang dan nilai melunaskan pembayarannya. Walaubagaimanapun, Islam masih memberikan ruang dan kelonggaran untuk berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukannya, iaitu dalam masalah kebaikan tetapi perlu diingat bahawa walaupun Islam memberi kelonggaran itu, setiap hutang itu wajiblah dijelaskan dan dibayar.

Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang - piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.

Hutang perlu dijelaskan dengan segera. Janganlah dilalaikan pembayarannya dan menyebabkan tertangguh begitu lama sekali dan langsung tidak dijelaskan sehingga menyusahkan orang yang memberi hutang.

Akibat menanggung hutang itu, selain daripada dipertanggungjawabkan membayarnya, bahkan ada bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika tidak melunaskannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud :
”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Dan dalam hadith yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.

Berdasarkan hakikat ini, Islam menasihatkan setiap Muslim agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat memerlukan. Kalau pun terpaksa berhutang, maka dia hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan.

Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya : “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

Oleh itu hindarkanlah diri kita tergolong dari orang-orang yang berhutang dan melengah-lengahkan     pembayaran hutang. Semoga dengan adanya kesedaran dan kejujuran kita dalam hal ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun, ayat 8 :-

Tafsirnya : “ Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah yang dipikul dan janjinya” .


Comments

Juju said…
Bubuh la butang share..buleh klik google plus 1
Maz said…
Mcm tau je ditujukn pd spe...huhu...kt sy kn,kn,kn? :-P
protozoa99 said…
ju: cano?
maz: xdolah..semua org berhutang kot..huhu